SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, media sepatutnya tidak mengadili suspek dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Katanya, beliau tidak mahu media menjadi penganiaya atau pendakwa awam bagi kes itu kerana adalah tidak adil untuk membuat andaian atau melemparkan tuduhan ke atas mereka.
"Sebaik isu ini disensasikan di dalam media, orang yang disiasat itu akan dianggap sebagai bersalah walaupun mungkin tidak begitu.
"Orang ini kemudian akan menjadi mangsa penganiayaan media dan berdepan dengan tekanan yang tidak sepatutnya daripada orang awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum mengenai kebebasan bersuara dengan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), dekat sini hari ini.
Mohamed Nazri meminta media berpegang kepada etika kewartawanan dan menegakkan keadilan dalam melaporkan kes berprofil tinggi.
Ketika ditanya mengenai tindakan beberapa buah pertubuhan yang menyiarkan gambar suspek pembunuhan tanpa mengaburkan wajah mereka, beliau berkata ia adalah tanggungjawab media dan bukan kerajaan untuk menetapkan kandungan berita mereka.
“Kita dalam kerajaan menghargai jika amalan penapisan sendiri dibuat oleh media sendiri kerana jika kami yang lakukannya, ia akan kelihatan seperti menghalang kebebasan media," katanya.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan ladang Gadong.- Bernama
SUMBER : HARIAN METRO 14/10/2010
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment